Memperkukuhkan semangat kebersamaan, amalan berkongsi rezeki



Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

 





TANAH JAMBU, Jumaat, 29 Mei. - Sebanyak dua ekor lembu dikorbankan dan dagingnya diagihkan kepada 33 orang penerima sempena Majlis Ibadah Korban Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Pusat IBTE yang berlangsung petang tadi di Dewan Serbaguna IBTE Kampus Nakhoda Ragam, Tanah Jambu, di sini.


Penerima agihan terdiri daripada 27 orang pelajar dan enam orang kakitangan Kampus Pusat IBTE, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan semangat kebersamaan dan amalan berkongsi rezeki dalam kalangan warga institusi berkenaan.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Pendidikan Teknik merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr. Haji Mohd. Zamri bin Haji Sabli.  


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan laungan takbir Hari Raya Aidiladha beramai-ramai yang menambahkan lagi suasana penuh kesyukuran dan penghayatan terhadap ibadah korban.


Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Sekolah bagi Sekolah Perkhidmatan Teknologi Bangunan, Awang Noorisman bin Meterais, selaku Pengerusi Bersama majlis.


Penganjuran Majlis Ibadah Korban ini bukan sahaja bertujuan menunaikan tuntutan syiar Islam, malah menjadi platform untuk menyemai nilai murni, memupuk budaya berkongsi rezeki serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dan kakitangan IBTE.


Majlis tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan IBTE dalam menerapkan nilai-nilai keagamaan dan kemasyarakatan dalam kalangan warganya, sekali gus memperkukuhkan semangat kekitaan dan keharmonian dalam institusi.


Close